Sunday, January 16, 2011

Srikandi Tenang

Untuk pertama kali dalam sejarah PAS Johor, sepanjang ingatan saya seorang tokoh muslimatnya - Normala Sudirman, 38 - didipilih sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Dun Tenang, 30 Januari ini.

Bukan mudah untuk seorang wanita melepaskan jawatannya sebagai guru untuk bertugas sepenuh masa di dalam PAS peringkat kawasan, negeri dan nasional dan kemudiannya menjadi calon PAS/Pakatan Rakyat di negeri yang selama ini dianggap kubu kuat Umno/BN.

Pemilihan pucuk pimpinan parti terhadap Normala, saya kira, sangat tepat memandangkan kemampuannya mencurahkan sepenuh masa dan tenaga untuk perjuangan sebuah parti seperti PAS. 

Pengalamannya sebagai guru selama 12 tahun membuatnya sangat mengertikan kehendak masyarakat, khususnya ibu bapa. Juga kemampuannya berpidato dan menyampaikan dasar perjuangan PAS untuk membela rakyat semua kaum.

Lebih dari segalanya, Normala, atau Cikgu Mala, mempunyai semangat tinggi dan kemampuan untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasannya dan parti yang diwakilinya. 

Beliau sangat sedar keputusannya untuk melibatkan diri dalam perjuangan PAS/Pakatan Rakyat dan seterusnya menjadi calon dalam pilihan raya kecil Dun Tenang ini adalah keputusan yang mungkin tidak mudah dilakukan oleh sebarang orang, namun Normala telah melakukannya dengan berani dan tabah.

Malah ucapannya di dalam kempen, bertemu pengundi, memacu gerak kerja kempen kelihatannya sangat meyakinkan. Mungkin ramai orang, terutamanya di Johor, terkejut dengan pemilihan dan kesediaannya menerima pencalonan oleh parti, memandangkan demografi politik dan suasana di negeri Johor sedemikian rupa.

Namun jangan salah sangka, Negeri Johor bukan lagi negeri kebal dan kubu kuat Umno/BN. Dua Adun dari PAS dan empat dari DAP sudahpun berada di dalam Dewan Undangan negeri itu. Besar kemungkinan, jika diizinkan Allah s.w.t., Cikgu Mala akan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Johor yang keenam dari Pakatan, mana tahu.

Jangan ada pihak yang menyangka hal ini adalah mustahil, kononnya PAS tidak ada tempat di negeri Johor. Andaian seperti ini hanya membayangkan keangkuhan dan kesombongan – sesuatu yang sama sekali tidak dibenarkan di dalam Islam.

Oleh itu PAS dan Pakatan Rakyat perlu membuktikan kemampuannya bekerja, mengatur strategi dengan tepat, menemui sebanyak mungkin pengundi dan sebagainya. Ini adalah pilihan raya kecil bersekala besar, justru ia menarik perhatian semua pihak.

Kita yakin Cikgu Mala akan mendapat sokongan kuat dari pengundi Tenang, kerana beliau adalah calon muda yang berwibawa dan sangat prihatin dengan nasib rakyat di Tenang.

Cikgu Normala, adalah di antara sejumlah pemimpin muda muslimat PAS yang menjadi harapan masa depan parti dan perjuangan Islam. Masa depan politiknya masih terbentang luas, sama ada beliau menang atau kalah nanti. Perjuangan PAS masih sangat memerlukan pengorbanan dan sumbangannya.

Sementara itu dalam ucapan di malam perisytiharan calon PAS itu, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat menerima hakikat bahawa pilihan raya sering kali berlangsung dalam
suasana yang tidak adil, dengan Umno BN mendapat segala kelebihan untuk berkempen.

"Bukan senang nak menang kerana kita menghadapi pilihan raya dalam lapangan yang tidak sama rata. BN akan guna media mereka, stesen televisyen, radio untuk berkempen seluas-luasnya,” katanya. 

Beliau menambah, bahawa Pakatan Rakyat sedar, pilihan raya yang berbeza dengan amalan demokrasi moden dan pilihan raya yang tidak adil. “Kita diberi peluang yang terhad, ceramah yang terhad dan penerangan yang terhad," katanya.

Namun Presiden PAS itu meminta petugas parti tidak cepat berputus asa kerana Pakatan Rakyat sudah beberapa kali menang dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Jangan risau kerana kita telah buktikan kita boleh menang dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan kita percaya kita boleh lakukan kali ini," katanya.

Semakin hampir hari penamaan calon dan hari mengundi, suasana di Labis semakin rancak. Para pemimpin dan penggerak parti kebanyakannya sudah berada di Tenang untuk membantu kempen calon PAS, Cikgu Mala agar memenangi Dun ini.

Mereka akan berada di sana silih berganti, dengan belanja sendiri, makan minum sendiri, kenderaan sendiri dan mencari tenmpat tidur sendiri. Semuanya ini adalah manifestasi sebuah perjuangan untuk mempertahankan Islam dan rakyat.

Cikgu Normala akan berada di tengah gegak gempita kempen ini dan kita yakin beliau kenal ramai dengan rakyat pelbagai kaum di kawasan itu, justru kiranya ini memberikan peluang yang baik kepada beliau untuk mendapat sokongan.

Normala akan bertemu dengan para pengundi di tiga kawasan Felda di Tenang, yang kononnya selama ini menjadi kubu kuat Umno/ BN. Tanggapan ini biasalah, tetapi tidak mustahil pengundi Felda, khususnya generasi baru akan mengundi Normala.

Beliau juga akan menemui sebanyak-banyaknya pengundi kaum Cina dan India dan diharapkan pengundi ini akan memilih calon Pakatan Rakyat ini disebabkan pengundi bandar biasanya melihat faktor isu dan seumpamanya.

Walau apapun keputusannya nanti, Cikgu Normala telah tampil sebagai tokoh muslimat dan pemimpin masa depan PAS dan sudah tentu beliau akan meneruskan perjuangannya.


Isu Azan : Najib Gagal Pertahan Syiar Islam


KUALA LUMPUR, 14 Jan: Pemuda PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kesal dengan sikap Datuk Seri Najib Razak ekoran kegagalannya mempertahankan syiar Islam dalam isu bantahan Azan di Masjid Al Ikhlasiah, Lembah Pantai.

Naib Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sangat malang bagi rakyat Malaysia yang majoriti Islam, namun perdana menterinya tidak mempunyai wibawa dan ketegasan bagi membela syiar dan syariat Islam.

"Kita merasa kesal dan kecewa dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang tunduk kepada permintaan seorang ahli MCA yang mahukan suara azan di Masjid Al Ikhlasiah, Pantai Dalam diperlahankan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Majid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam yang didakwa ahli MCA aeumur hidup.

Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park juga didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Jawi.

Difahamkan, setelah perbincangan diadakan, pihak masjid kemudiannya diarah memperlahankan pembesar suara di masjid tersebut.

"Kita mempersoalkan apakah Perdana Menteri dan Jawi tunduk kepada tekanan ini hanya kerana beliau seorang ahli parti komponen BN?

"Isu ini membuktikan bahawa Umno bukanlah parti yang mampu membela dan mempertahankan Islam, kerana mereka sendiri terpaksa akur dengan tuntutan ahli-ahli parti komponennya.

Menurut Suhaimi lagi, seluruh umat Islam tidak boleh menerima dan merasa terpukul dengan arahan tersebut yang menganggap ia adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

"Bagi kaum bukan Islam, azan tidak boleh dipertikaikan kerana ia adalah syiar Islam.

"Sama seperti agama Kristian dan Hindu yang membunyikan loceng tatkala waktunya, kaum Tionghua yang membakar mercun pada masanya, bagi umat Islam azan adalah kaedah bagi menandakan masuk waktu bersembahyang," terangnya lagi.

Beliau turut mempersoal, mengapa hanya dengan satu aduan daripada seorang ahli MCA, pihak Jawi dengan serta merta mengarahkan azan diperlahankan.

Apa yang dibimbangi ujarnya, jika aduan sama dibuat kepada masjid-masjid di tempat lain tindakan dan arahan sama akan turut dibuat oleh pihak berkuasa agama.

"Kita bimbang sekiranya berlaku nanti ada masjid terpaksa dibuang pembesar suara kerana dianggap mengganggu penduduk sekitar dan pihak kerajaan melayan tuntutan mereka," jelasnya.

Friday, January 14, 2011

Arak : Pemuda PAS Wilayah Sokong Hasan Ali


Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 14 Jan: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong pandangan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Ali yang mahukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menguatkasakan larangan umat Islam bekerja di premis menjual arak.
Naib ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, sebelum ini, MPSJ telah menguatkuasakan larangan umat Islam bekerja di tempat menjual minuman keras namun arahan itu telah ditarik balik oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu.
Dalam hal ini, katanya DPPWP merasa kagum terhadap Hasan Ali yang bertegas dengan prinsip Islam.
Tambahnya, hukum Islam telah jelas menyatakan haram bagi umat Islam bekerja di premis yang menyediakan minuman keras apatah lagi meminumnya.
“Tindakan beliau dengan jelas membuktikan bahawa PAS tidak pernah menggadaikan prinsip dan maruahnya meskpiun bersahabat dengan pelbagai parti politik.
“Dasar PAS yang berjuang untuk Islam sejak dahulu hingga kini tidak pernah berubah walaupun bermacam halangan yang melanda,” ujarnya.
Ini juga, tambahnya membuktikan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat jauh bezanya dengan Umno dan Barisan Nasional. 
DPPWP juga, katanya menyokong dan mengucapkan tahniah kepada MPSJ kerana mahu melaksanakan larangan ini.
“Penguatkuasaan ini akan mampu mengelakkan umat Islam terjebak dengan maksiat dan dosa kerana bergelumang dengan perkara-perkara yang haram.
“Perkara-perkara haram sebeginilah yang menyebabkan kurangnya keberkatan kepada rezeki yang diperolehi sehingga melahirkan generasi yang rosak akhlak dan akidah,” katanya.
Beliau menambah, DPPWP turut mengharapkan agar Ronnie Liu melaksanakan segera peraturan mengharamkan umat Islam bekerja di premis jualan minuman keras demi kemaslahatan umat Islam.
Menurutnya lagi, umat Islam di Selangor khususnya terlalu lama menginginkan kehidupan yang diberkati, jauh daripada dosa dan perkara-perkara yang haram.

Thursday, January 13, 2011

Ku Ingin Tumpang Sekaki Di Dunia Maya Ini



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Bermulalah langkah pertamaku  sebagai blogger hingusan separuh-masa dalam blog ini. Sekadar ingin menumpang sekaki untuk menyebokkan diri di alam maya ini bersama rakan-rakan maya yang telah arif dengan sepak terajang mengejar gelaran blogger. Harapanku....semoga blog ini dapat memulangkan kepadaku semula pahala-pahala kebaikan setelah hasil tulisanku disebar dan dibaca oleh pengunjung dan bukannya dilemparkan kemukaku dengan dosa-dosa memfitnah, mengumpat dan mengaibkan sesiapa pun. Fokusku adalah siasah. Ya....siasah yang benar menurut jejak junjungan besar kita Nabi Muhammad saw kerana aku ingin menghapuskan stigma 'politik itu kotor'  dan menukarkannya kepada 'politik itu peperangan'. Kerana peperangan demi kerana Allah  itu adalah jihad , peperangan adalah perjuangan, peperangan adalah tipu daya untuk mengalahkan musuh untuk memenangkan Islam agar tertegaknya khilafah di muka bumi Allah ini. Tanpa 'peperangan'....kita tidak mampu menawan kekufuran kerana kekufuran itu amat ampuh dengan bantuan bala tentera syaitan, tamak haloba, penindasan, kezaliman, ketidakadilan dan pembohongan yang akhirnya Islam kan terhina. Aku akan berjuang di medan ini dengan caraku tersendiri dengan berpihak kepada orang-orang yang berpegang kepada Al Quran dan sunnah Nabi. TAKBIR !!!